Politik

Muhyiddin dakwa ucapannya dimanipulasi, dipetik di luar konteks

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan ucapannya baru-baru ini supaya tidak memberi undi kepada calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai telah dipetik di luar konteks.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ucapannya itu yang dibuat dalam satu ceramah di Pulai pada 2 September lalu itu juga telah dimanipulasi.

“Ucapan saya kononnya saya telah mengeluarkan fatwa haram memberi undi kepada calon PH dalam PRK Pulai.

“Ucapan saya panjang. Saya menyentuh pelbagai isu yang dihadapi oleh rakyat pada masa ini terutama sekali bebanan kos sara hidup yang gagal ditangani dengan baik oleh kerajaan PH. Kerana itu saya menyeru kepada pengundi-pengundi di Parlimen Pulai supaya jangan memberi undi kepada calon PH, Suhaizan Kayat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau juga tidak mengeluarkan fatwa hukum syarak bahawa haram mengundi calon PH.

“Saya hanya secara berkias menyebut “saya bagi hukum haram” dengan tiada niat bahawa ianya adalah fatwa hukum syarak. Kerana saya tahu apa yang saya sebut itu bukanlah fatwa hukum syarak, saya selepas itu menyebut “ada esok ni yang mencabar saya ni ikut fatwa mana.”

“Sebagai seorang yang faham tentang hukum-hakam agama, saya tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan sebarang fatwa agama. Apatah lagi di negara kita terdapat badan-badan tertentu seperti Majlis Fatwa yang mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan fatwa selepas mengadakan muzakarah dengan para ulama’ dan ilmuwan yang pakar dalam bidang-bidang yang berkaitan.

Saya percaya hadirin yang mengikuti keseluruhan ucapan saya semasa ceramah tersebut faham maksud saya. Berdasarkan respon hadirin pada malam itu saya yakin mereka tidak mengambil kenyataan saya secara serius sebagai suatu fatwa agama,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button