KKDW laksana Program Tabika Pra-Tahfiz Ogos ini
PUTRAJAYA – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus komited dalam memperkasakan program pendidikan dan pembangunan modal insan menerusi Program Tabika Pra-Tahfiz bermula pada bulan ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, tujuan program tersebut diadakan adalah bagi memperkasakan al-Quran di Tabika Kemas melalui pelaksanaan Modul Penghayatan Pendidikan Islam (PPI).
Menurut Rubiah, program yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) itu tidak termasuk dalam silibus tambahan, sebaliknya masa tambahan sebanyak satu jam akan diberikan bagi silibus al-Quran dan pendidikan Islam bagi tabika terpilih.
“Untuk tahun ini kita (KKDW) melaksanakan untuk 100 buah tabika di seluruh negara dan guru-gurunya telah dilatih menerusi up skilling (peningkatan kemahiran) dan kami lakukan di 100 buah tabika untuk tahun ini bermula Ogos ini.
“Untuk tahun ini program tersebut melibatkan 100 tabika merangkumi 800 murid, manakala untuk tahun hadapan kita akan cuba laksanakan untuk 4,000 tabika,
“Kita mendedahkan pelajar kepada al-Quran itu sendiri tidaklah ‘pure al-Quran’ lebih kepada iqra dan juzuk 30 dan kalau pelajar tabika ini dapat menguasai 10-20 juzuk pendek amat memadai untuk meneruskan pengajian ke darjah satu dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rubiah berkata, program berkenaan juga selari dengan penghayatan rukun Ihsan dalam Konsep Madani yang m dapat membentuk masyarakat Madani yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Silibus ini sangat penting dalam usaha kita memastikan masyarakat Madani ini kita dapat bentuk dari peringkat awal lagi sebab ada kriteria Ihsan yang mana kita perlu pupuk.
“Menyedari perkara ini KKDW melalui Kemas kita melaksanakan program ini tahun ini sebagai projek rintis dan tahun hadapan kita akan dikembangkan lagi,” katanya lagi.