KDN akan pindahkan 80 kanak-kanak warga asing ke pusat jagaan baharu
Fokus penjagaan yang lebih manusiawi
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mula memindahkan kanak-kanak warga asing berusia 18 tahun ke bawah yang berada di Depot Tahanan Sementara Imigresen ke premis penjagaan baharu di Nilai, tidak lama lagi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, inisiatif tersebut merupakan langkah permulaan kementerian dalam menyediakan persekitaran lebih kondusif.
“Ini akan menjadi permulaan untuk mengeluarkan kanak-kanak dari depot supaya mendapat penjagaan lebih manusiawi,” katanya menerusi sidang akhbar selepas majlis Perhimpunan Bulanan KDN, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh.
Buat permulaan, seramai 80 kanak-kanak akan dipindahkan, dengan sebahagian mereka mempunyai penjaga.
“Sekiranya mereka mempunyai penjaga, kanak-kanak ini akan dikeluarkan bersama penjaga mereka,” katanya lagi.
Saifuddin turut memberitahu, kanak-kanak warga asing itu terdiri daripada penghuni Depot Tahanan Sementara Imigresen Bukit Jalil, Semenyih dan KLIA.
“Pelaksanaan inisiatif ini melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
“Kedua-dua jabatan ini mempunyai aspek kawalan dan penjagaan seperti biasa serta tidak melibatkan pertambahan anggota,” katanya lagi.
Ketika ditanya mengenai tempoh masa kanak-kanak itu ditempatkan di pusat berkenaan, Saifuddin berkata, mereka akan ditempatkan di premis berkenaan sehingga proses penghantaran pulang ke negara asal dapat dilakukan.
“Kami akan berhubung dengan kedutaan dan sehingga dokumen perjalanan mereka dikeluarkan.
“Matlamat akhir adalah untuk mengembalikan mereka ke negara asal,” jelas beliau.