Pelatih muda mendarat cemas di Melaka
MELAKA – Seorang pelatih juruterbang wanita berdepan detik cemas apabila pesawat Piper 28 kendaliannya hilang kawalan ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian pada pukul 12.26 tangahari itu melibatkan pesawat International Aero Training Academy Sdn Bhd (IATAC).
Katanya, pelatih berusia 23 tahun itu hanya mengalami kesakitan pada bahagian dada akibat kesan hentakan dan dibawa ke Hospital Melaka.
“Pada jam lebih kurang 12.42 tengah hari, pihak polis terima maklumat berkaitan sebuah pesawat milik IATAC telah hilang kawalan di landasan RWY 21.
“Pesawat itu kemudian telah berjaya dikeluarkan sepenuhnya dari lokasi kejadian pada jam 12.50 tengah hari dan juruterbang yang terlibat telaporkan telah dibawa menaiki ambulans ke Hospital Melaka,” katanya dalam kenyataan di sini.
Christopher berkata, susulan kejadian itu, pelatih juruterbang terbabit dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.
“Bagaimanapun dilaporkan tiada kecederaan dialaminya dan dia hanya merasa sakit di bahagian dada akibat kesan hentakan,” katanya.