Jenayah & Mahkamah

SPRM tahan ahli jawatankuasa persatuan penjaja

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) difahamkan menahan seorang ahli jawatankuasa persatuan penjaja kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM27,000 daripada seorang pemilik syarikat pembinaan.

Difahamkan, wang itu sebagai dorongan membantu syarikat tersebut mendapatkan lesen sementara daripada pihak berkuasa tempatan.

Menurut sumber itu lagi, peniaga terlibat bagaimanapun telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa meskipun dipercayai telah membayar wang kepada suspek.

“Lelaki tersebut dipercayai menerima wang suapan melalui beberapa pindahan wang ke akaun bank syarikat miliknya dan melakukan kesalahan itu sekitar Jun hingga Julai 2022.

“Suspek dipercayai ditahan pada pukul 1.30 petang, Selasa ketika diminta hadir memberikan keterangan di SPRM Kuala Lumpur,” kata sumber itu, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, suspek bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan SPRM, dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

Show More

Related Articles

Back to top button