3 lagi pertuduhan dihadapi Muhyiddin juga perlu dibatalkan – Azmin
KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga lagi pertuduhan yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dibatalkan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan empat pertuduhan predikat di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Menurut Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, ini kerana kesalahan utama atau predikat telah dibatalkan, maka tiga pertuduhan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2009 juga tidak boleh berdiri secara sendiri dan harus dibatalkan.
“Kejayaan hari ini membuktikan ada “tangan” yang berniat jahat untuk mencalarkan imej dan kredibiliti Bersatu khususnya Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya rakyat menolak PN. Tapi apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri adalah sebaliknya, PN telah menang besar di Terengganu, Kelantan, Kedah dan menang dengan jumlah yang signifikan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
“PN bertegas dari awal bahawa sekiranya kerajaan berpegang kepada prinsip “rule of law”, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan dituduh dalam Mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, katanya, PN juga yakin bahawa Presiden Bersatu itu tidak pernah terlibat dalam amalan rasuah dan salah guna kuasa.
Malahan, Azmin berkata, Muhyiddin adalah seorang yang tuntas menentang amalan rasuah termasuk menentang skandal kewangan terbesar 1MDB sehingga beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Keputusan mahkamah pagi ini akan memperteguhkan pendirian kami PN untuk menentang segala bentuk amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam kerajaan hari ini dan memberikan fokus untuk membangunkan ekonomi rakyat dan negara,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Muhyiddin dilepas dan dibebaskan daripada empat tuduhan berkenaan di Mahkamah Tinggi apabila mahkamah dapati ia cacat.
Pengerusi PN itu memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu, dan memohon prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.
Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat tuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.
Ini berikutan didakwanya tiada mana-mana satu pun daripada tuduhan terbabit mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM.