Anak Annuar Musa hadir majlis PN sejurus selepas tinggalkan UMNO
KOTA BHARU – Hanya beberapa jam selepas meninggalkan parti, bekas Ketua Pemuda UMNO Ketereh, Afiq Amani Annuar dilihat hadir dalam ceramah Perikatan Nasional (PN).
Afiq hadir pada ceramah umum Pakat Pertahan Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di Padang Kala di sini, malam tadi dengan mengiringi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Hadir sama dalam majlis itu adalah bapanya, Tan Sri Annuar Musa yang merupakan bekas Ahli Parlimen Ketereh; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan calon PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi.
Semalam Afiq mengumumkan keluar dari UMNO selepas merasakan dirinya tidak lagi seperjuangan dengan parti yang disifatkan beliau sudah lari dari landasannya.
Pengumuman itu dibuat dalam pengisytiharan keluar parti dan melepaskan jawatan beramai-ramai dalam UMNO di Bukit Marak, semalam.
Antara pemimpin parti itu yang mengikut jejak Afiq adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Ketereh, Sabariah Hamzah dan dan beberapa Ahli Jawatankuasa Wanita bahagian itu.