Politik

Jangan alih isu, pertemuan dengan Sultan Kedah tiada kaitan REE

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri membidas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya tidak mengalihkan isu kecurian unsur nadir bumi (REE) dengan pertemuannya bersama ahli perniagaan Indonesia dengan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan beliau bersama usahawan yang dikenali sebagai Mohamad Riza Chalid dengan Tuanku Sultan tiada kaitan dengan permohonan untuk melombong REE di negeri itu.

“Isunya curi nadir bumi. Jangan alihkan. Mengadap Tuanku itu jadual Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah. Majlis itu majlis dengan Sultan Kedah.

“Sebab kalau dia (Mohamad Riza) pohon-memohon, itu bukan dengan Sultan Kedah. Sultan Kedah panggil saya ada hal-hal lain termasuk ziarah makam,” katanya pada Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan di sini hari ini.

Anwar Ibrahim bersama Chang Lih Kang  (tiga dari kanan) merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Anwar berkata, beliau tidak perlu mengulas lanjut mengenai pertemuan tersebut dengan Tuanku Sultan Kedah kerana tidak melibatkan permohonan isu REE.

“Ia tiada kaitan dengan perniagaan dalam bidang itu (perlombongan). Tiada permohonan yang dikemukakan kepada Sultan kedah,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai calon yang akan mewakili Parti Amanah Negara, (Amanah) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata perkara itu akan diputuskan dalam masa terdekat.

“Kita menghormati kerusi lama milik (Amanah) tapi calon akan diputuskan melalui Majlis Presiden PH sebelum diangkat kepada majlis Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Semalam, Suruhanjaya Pilihanraya mengumumkan PRK bagi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram ditetapkan pada 9 September ini.

Pilihan raya itu adalah bagi mengisi kekosangan kerusi selepas kematian penyandang, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button