Sukan

Hantar atlet 100 meter paling perlahan ke acara dunia, pengerusi persatuan olahraga digantung

CHENGDU – Pengerusi Persekutuan Olahraga Somalia, Khadijo Aden Dahir digantung susulan insiden pelari wanita yang mewakili negara itu mengambil masa lebih 21 saat (s) untuk menamatkan acara 100 meter pada Sukan Universiti Dunia, China.

Pelari wanita tersebut, Nasra Abukar mencatat 21.81s, 10.23s di belakang pemenang perlumbaan yang merekodkan catatan masa 11.58s.

Menteri Belia dan Sukan Somalia, Mohammed Barre Mohamud berkata, kementeriannya tidak tahu Abukar terpilih untuk beraksi dalam temasya berkenaan.

Siasatan susulan yang dilakukan mendapati Abukar bukan seorang atlet mahupun pelari.

“Pengerusi itu didakwa terbabit dengan penyalahgunaan kuasa, nepotisme, dan memalukan nama baik negara itu di pentas antarabangsa,” kata kementerian berkenaan.

Rakaman larian perlumbaan membabitkan wanita berusia 20 tahun itu tular di media sosial sejak 1 Ogos lalu.

Menurut pengguna media sosial, Abukar dipercayai adalah anak saudara pengerusi persekutuan itu.

Show More

Related Articles

Back to top button