Politik

PRK Simpang Jeram, Pulai: BN beri laluan kepada Amanah

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menetapkan pendirian untuk tidak bertanding bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram atas kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN akan memberi laluan kepada Amanah untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi tersebut.

Menurut Presiden UMNO itu, keputusan itu dibuat atas tanda hormat serta semangat politik dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita amat menghormati kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan dan kita tahu bahawa kerusi Parlimen Pulai adalah hak parti Amanah iaitu rakan politik dalam kerajaan dan mereka adalah penyandang.

“Kerusi DUN Simpang Jeram juga kepunyaan parti Amanah. Maka atas semangat Kerajaan Madani, kita akan dukung kedua-dua kerusi itu ditandingi rakan-rakan parti Amanah,” katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan program TVET JELITA di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC) hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini  menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 9 September.

Tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi berkenaan pula ialah masing-masing pada 26 Ogos dan 5 September.

Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Show More

Related Articles

Back to top button