Malaysia, Brunei perkukuh kerjasama dalam bidang belia dan sukan, kehakiman syariah
PUTRAJAYA – Malaysia dan Brunei hari ini bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama dalam bidang belia dan sukan, serta kehakiman syariah melalui pemeteraian dua memorandum persefahaman (MoU) di Putrajaya.
Turut dimeterai di Putrajaya sempena lawatan negara Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah selama tiga hari ke Malaysia itu ialah perjanjian triti berkaitan Pemindahan Antarabangsa Banduan (ITOP), lapor Bernama.
Pertukaran MoU dan perjanjian triti itu berlangsung di Seri Perdana di sini yang disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei.
MoU membabitkan kerjasama dalam bidang belia dan sukan ditandatangani oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, serta Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Brunei, Datuk Seri Setia Awang Nazmi Mohamad.
Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Mohd Amran Mat Zain pula menandatangani MoU berkaitan kehakiman syariah dengan Ketua Hakim Syarie Brunei, Datuk Paduka Seri Setia Awang Salim Besar.
Perjanjian triti ITOP pula ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan rakan sejawatannya dari Brunei, Datuk Seri Setia Awang Ahmaddin Abdul Rahman.
Terdahulu, keberangkatan tiba Sultan Brunei di kediaman rasmi perdana menteri itu pada kira-kira pukul 4 petang disambut Anwar dengan diiringi tarian tradisional.
Pada 2022, Brunei merupakan rakan dagangan ke-26 terbesar Malaysia dan keenam terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan bernilai RM13.22 bilion (US$2.98 bilion), peningkatan 68.4 peratus berbanding nilai yang dicatatkan pada 2021.