Kekurangan dana jejas kempen calon PN – Ahmad Samsuri
MARANG – Isu kekurangan dana merupakan satu cabaran yang terpaksa dihadapi calon Perikatan Nasional (PN) dalam mengharungi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Bendahari PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mengakui situasi itu berkata, jentera parti di semua negeri terpaksa bergerak dengan cara yang sesuai berdasarkan peruntukan dana yang ada.
Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, gabungan itu bagaimanapun yakin mampu bertahan dengan cabaran dihadapi ketika ini.
“Kita bergerak dengan pelbagai cara dalam menghadapi mana-mana pilihan raya sejak sekian lama (dan) daripada Pas sendiri, kita sudah mengumpulkan dana di peringkat cawangan masing-masing sebaik sahaja selesai pilihan raya.
“(Sebagai contoh) hari ini habis pilihan raya, esok mereka sudah memulakan proses untuk mengumpul dana, jadi bayangkan dalam masa lima tahun sedikit demi sedikit (dan) masing-masing sudah menyediakan dana yang mencukupi untuk buat kerja-kerja asas di peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri),” kata beliau.
Ahmad Samsuri yang juga calon DUN Ru Rendang berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Ceramah Teguh Pertahan: Kenali Calon Pas Marang Kite di Markas Pilihan Raya Pas Kampung Padang Mengkuang Pengkalan Berangan, di sini malam tadi.
Beliau menambah, tekanan yang dibuat oleh kerajaan di peringkat pusat terhadap akaun Bersatu memberi kesan kerana ia dibuat sebelum pilihan raya seolah-olah dilihat ia ada tujuan yang khusus kenapa dibuat sebelum pilihan raya itu.
“Yang penting ialah semangat semua jentera dengan petugas-petugas termasuklah pengundi-pengundi muda itu sangat tinggi, jadi pada saya ini satu cabaran tetapi tidaklah memberi kesan yang sangat besar kepada gerak kerja jentera pilihan raya,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, gabungan itu optimis untuk mencapai sasaran memenangi 32 kerusi Dun dan satu kerusi Parlimen pada pilihan raya kali ini.