Datuk, sekutu ditahan dengan wang tunai RM38 juta, emas RM60 juta
KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan sekutunya ditahan dengan wang tunai RM38 juta, emas seberat anggaran 200 kilogram bernilai kira-kira RM60 juta serta 17 kereta mewah dalam Op 82S yang diadakan besar-besaran, kelmarin.
Operasi besar-besarana itu disertai Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasa Malaysia – Multi Agency Task Force (MATF) yang diketuai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melumpuhkan satu sindiket rasuah, pecah amanah, penyeludupan barang-barang haram dan pengurangan cukai tidak sah.
Kejayaan itu dilakukan menerusi operasi besar-besaran MATF pada 24 Julai lalu dengan kerjasama enam agensi penguatkuasaan lain iaitu polis, Imigresen, Kastam, Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Cyber Security Malaysia (CSM).
Menurut sumber, operasi yang diberi nama Op 82S itu merupakan kes pertama yang dijalankan di bawah MATF yang dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.
Dalam operasi yang dijalankan pada Isnin lalu itu, serbuan secara serentak telah dilakukan oleh pasukan berkenaan di 34 lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor dengan melibatkan kekuatan 315 pegawai pelbagai agensi penguatkuasa.
“Sehubungan itu, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan sekutunya telah ditahan dan sejumlah wang tunai anggaran kira-kira RM 38 juta, emas seberat anggaran 200 kilogram bernilai kira-kira RM60 juta serta 17 buah kereta mewah antaranya berjenama Maserati, Ferrari dan Mercedes Benz juga telah disita,” katanya.
Ketika dihubungi, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, Akta Percukaian 1967 dan Akta Kastam 1967.
Bagaimanapun ahli perniagaan itu sudah dibebaskan dengan jaminan hari ini selepas keterangannya diambil.