Polis sahkan tiada laporan ugutan diterima terhadap Siti Kasim
KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan tiada laporan diterima berhubung ancaman terhadap peguam, Siti Zabedah Kasim susulan penemuan bahan letupan termampat (IED) di bahagian bawah keretanya pada Jumaat lepas.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, pihak polis sedang giat menjalankan siasatan bagi mengesan suspek.
“Setakat ini, memang tidak ada sebarang laporan berhubung ugutan, polis juga sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV)”
“Polis juga sudah merakam 12 keterangan saksi termasuk mangsa, pemilik bengkel, anggota keselamatan mahkamah dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela),” katanya memetik laporan BH Online.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bendera sempena Kejohanan World Police dan Fire Games Winnipeg 2023 di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, berdasarkan laporan yang dikeluarkan Unit Pemusnah Bom (UPB), memang terdapat bahan yang boleh mencetuskan letupan.
“Kajian terperinci akan dijalankan, jadi kita tunggu laporan penuh penganalisis makmal.
“Siasatan bergantung pada bukti, kena tengok siapa mangsa, dari situ kita akan mungkin akan dapat petunjuk, mungkin masalah perniagaan, masalah sakit hati, keluarga, hutang dan pelbagai motif yang boleh digunakan untuk balas dendam,” katanya lagi.
Terdahulu, Siti Kasim membuat laporan polis susulan penemuan IED di bahagian bawah keretanya oleh mekanik yang sedang membaiki keretanya di sebuah bengkel di ibu negara pada Jumaat lepas