Keusahawanan digital laluan terbaik usahawan desa naikkan taraf sosioekonomi
SUNGAI BESAR – Para usahawan desa digesa supaya tidak meminggirkan kepentingan keusahawanan secara digital.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perubahan dunia yang menyaksikan kepesatan dalam teknologi komunikasi digital memberi kesan langsung kepada corak perniagaan.
“Kita perlu sedar, teknologi telekomunikasi dan internet di negara kita bukan lagi sesuatu yang baru, begitu juga dengan perniagaan digital ini, ianya bukan lagi sesuatu yang baru pada masa kini.
“Untuk terus berjaya kita perlu bergerak seiring dengan kemajuan digital ini, jika kita tidak bertindak sekarang, kita akan ketinggalan dan terus ketinggalan,” kata Ahmad Zahid dalam ucapannya pada program Sentuhan Kasih Desa Negeri Selangor dan Mini Karnival Usahawan Desa @ Sungai Besar di Stadium Sungai Besar, di sini hari ini.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Timbalan Setiausaha (Pengurusan) Selangor, Mohamad Zahri Samingon.
Ahmad Zahid seterusnya berkata, KKDW akan terus mengatur strategi yang lebih meluas untuk mengadaptasi keusahawanan digital melibatkan penyertaan langsung oleh para usahawan desa.
“Saya yakin pendigitalan usahawan mampu memperkasakan usahawan desa dan menjadi batu loncatan untuk mengembangkan pasaran produk termasuk ke luar negara.
“Menerusi platform pendigitalan ini, produk keluaran tempatan dapat diketengahkan kepada pengunjung termasuk pelabur dari dalam dan luar negara,” kata Ahmad Zahid lagi.
Beliau yang juga Timbalan Menteri, turut memaklumkan bahawa kerajaan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah memperuntukkan lebih RM28 juta buat para usahawan di Selangor bagi membantu peningkatan sosioekonomi dan taraf hidup warga desa.
Jelas beliau, peruntukan yang memanfaatkan 3,059 penerima itu dilaksanakan agensi di bawah kementerian.