Berita Semasa

Penganjur ‘Ratu Pondan’ belum hadir ke JAIM

MELAKA – Penganjur yang didakwa ingin menganjurkan Malam Ratu Pondan secara terbuka di sebuah hotel terkemuka di negeri ini pada Ahad masih belum menghadirkan diri ke Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) meskipun sudah dipanggil berbuat demikian.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pihaknya sudah memanggil penganjur itu bagi memberi keterangan pada Selasa.

Menurut Rahmad, pihaknya telah mengenal pasti pihak penganjur tersebut dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas sekiranya penganjur mahu meneruskan acara yang tidak dibenarkan dianjur di Melaka itu.

“Kalau bukan dalam bulan ini (Awal Muharram) pun kami tidak akan benarkan, termasuk apa yang boleh mencemarkan kesucian dan keharmonian Melaka dengan penganjuran sedemikian.

“Penganjur kita dah panggil, setakat ini masih lagi tak datang, kalau dia datang pun kami memang tidak akan teruskan,” katanya hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, pihaknya akan melibatkan pihak polis sekiranya penganjur masih berdegil.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihak tersebut telah dikesan dan merupakan penganjur dari dalam negara.

Menurutnya, acara sama pernah dianjurkan di luar negara termasuk Thailand, namun cuba diadakan secara terbuka di Melaka selepas beberapa tahun dianjurkan secara tertutup.

Show More

Related Articles

Back to top button