Berita Semasa

Polis ambil keterangan pemilik kedai jual gambar batu tertera ayat al-Quran dijadikan pelapik tidur anjing

SEBERANG PERAI – Polis mengambil keterangan seorang pemilik perniagaan barangan perkakasan di Telok Ayer Tawar di sini berhubung hantaran memaparkan seekor anjing yang tidur di atas batu bertulisan ayat al-Quran yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Assisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, pihaknya menjalankan siasatan selepas polis menerima laporan yang dibuat seorang lelaki hari ini berkaitan isu berkenaan.

Menurutnya, laporan polis itu dibuat atas rasa terkilan dengan tindakan pemilik premis terbabit yang seolah-olah tidak menghormati agama Islam dan mahu siasatan lanjut dijalankan.

“Laporan dibuat selepas dia terlihat tiga keping gambar yang memaparkan batu tertera ayat al-Quran dijadikan pelapik tidur anjing semalam di aplikasi Tiktok sebelum tular di sebuah halaman di laman Facebook.

“Pengadu tidak mengenali pemilik akaun Tiktok berkenaan. Susulan itu, polis telah bertindak menghubungi admin laman FB berkenaan bagi memadam hantaran terbabit.

“Sementara itu, pemilik premis perniagaan yang juga pemilik akaun Tiktok berkenaan turut diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara untuk memberi keterangan” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, polis turut mengadakan lawatan ke tempat kejadian.

Namun, batu bertulisan jawi itu sudah tiada di premis terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 .

“Orang ramai turut dinasihatkan supaya memadam gambar-gambar itu bagi menjaga sensitiviti agama Islam, selain ia dibimbangi menimbulkan kegelisahan dan kegusaran awam,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button