Jenayah & Mahkamah

KPDN Kedah rampas 3,800 liter minyak diesel bersubsidi

ALOR SETAR – Sebanyak 3,800 liter minyak diesel bersubsidi dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kedah dalam satu serbuan di sebuah stor di Bukit Kayu Hitam semalam.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, empat unit tangki juga telah dirampas dengan keseluruhan rampasan dianggar bernilai RM28,170.

Katanya, serbuan yang dilakukan pada 10 malam semalam adalah hasil risikan dan maklumat  KPDN, Putrajaya.

Menurut Affendi Rajini, tiada tangkapan dilakukan sewaktu serbuan susulan tiada penghuni dijumpai di stor berkenaan.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan yang kedua pula boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, bagi pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan yang kedua didenda tidak melebihi RM5 juta,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Show More

Related Articles

Back to top button