Zuraida fail rayuan bayar RM10 juta kepada PKR
PUTRAJAYA – Datuk Zuraida Kamaruddin memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) membayar RM10 juta berhubung isu pelanggaran syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu di sini hari ini.
Menerusi notis rayuan difailkan firma guaman, Tetuan Zharif Nizamuddin, Zuraida menzahirkan rasa tidak puas hati dengan keputusan Hakim, Datuk Akhtar Tahir yang membenarkan saman berkenaan, pada 23 Jun lalu.
“Saya merayu kepada Mahkamah Rayuan terhadap keseluruhan keputusan terbabit,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Pada 23 Jum lalu, Mahkamah Tinggi di sini, membenarkan PKR menuntut RM10 juta daripada Zuraida berhubung isu pelanggaran syarat bon berkenaan.
Menerusi pernyataan tuntutan PKR yang difailkan pada 28 September 2020, Zuraida telah menandatangani bon yang mengikat dirinya untuk membayar sejumlah RM10 juta berdasarkan terma dan syarat bon tersebut.
PKR mendakwa Zuraida telah bersetuju untuk membayar parti jumlah itu selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
Pada atau sekitar 24 Februari 2020, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 ahli Parlimen PKR yang lain telah mengumumkan peletakan jawatan namun memilih untuk kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali sebagai PN.
Selain Zuraida, 10 lagi ahli PKR yang keluar parti itu ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak), Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok),Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).