Jenayah & Mahkamah

Bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo ditahan polis

PUTRAJAYA – Polis telah menahan bekas peguam syarikat pelaburan kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan dan disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jasmine yang dipercayai mempunyai maklumat berhubung kes 1MDB ditahan pada Jumaat dan direman mulai Sabtu lalu.

Menurutnya, peguam itu kini berada di dalam tahanan polis di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi.

“PDRM tentunya mempunyai beberapa perkara yang perlu untuk disiasat dan peguam yang mewakili Jasmine telah menyatakan bahawa anak guam bersedia memberi kerjasama kepada PDRM dan kerajaan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Pada November 2021, pendakwa raya memfailkan notis usul melucut hak dua kereta iaitu Audi dan Volkswagen New Beetle, wang berjumlah RM22,600 serta sebuah kondominium di Mont Kiara di sini milik Jasmine.

Jasmine dikatakan seorang daripada sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low yang turut terbabit dalam skandal kewangan 1MDB serta disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki selepas melarikan diri dan tidak diketahui keberadaannya.

Tahun lalu, Bloomberg melaporkan, penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, memburu bekas Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan 1MDB Casey Tang Keng Chee dan Jasmine berkaitan pemindahan AS$700 juta (RM3.3 bilion) yang didakwa dilakukan secara haram.

Menurut laporan itu, kedua-dua mereka sedang disiasat berhubung dakwaan rasuah, salah laku pejabat awam, pengubahan wang haram dan kegiatan jenayah.

Show More

Related Articles

Back to top button