Kajian semula Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi pastikan lebih ramai berani tampil dedahkan kegiatan rasuah
KUALA LUMPUR – Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 akan dikaji semula bagi memperluaskan perlindungan kepada agensi melakukan pendedahan terhadap penyalahgunaan kuasa dan rasuah tanpa rasa takut akan hukuman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dua elemen tersebut perlu dibanteras sepenuhnya kerana ia mempunyai implikasi melemahkan asas tadbir urus yang baik.
“Kita tahu rasuah salah satu punca utama kejatuhan Empayar Rom dan juga empayar seterusnya. Bukan sahaja kewujudan rasuah tetapi skala dan kesan jangka panjang global juga membimbangkan semua.
“Walaupun kita tidak mempunyai empayar seperti itu, namun sejarah negara kita dicemari oleh salah guna kuasa dan rasuah.
“Musibah ini telah meresap dalam masyarakat kita, menghalang kemajuan dan aspirasi negara serta melemahkan asas tadbir urus yang baik,” katanya.
Anwar berkata demikian pada Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia (IMLC) 2023, di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri dilaporkan sebagai berkata, kerajaan sedang meneliti peruntukan yang boleh memperketatkan lagi akta tersebut bagi untuk memastikan lebih ramai berani tampil mendedahkan kegiatan rasuah.
Menurutnya, usaha kerajaan itu bukan bertujuan untuk memberi laluan kepada mana-mana pihak membuat tuduhan palsu atau fitnah.
Selaras dengan itu, Anwar meminta pengamal undang-undang terus menyokong inisiatif kerajaan untuk menginstitusikan tadbir urus baik dengan mendukung ketelusan dan mengukuhkan usaha terhadap membendung penyalahgunaan kuasa yang teruk serta rasuah.
“Tidak dinafikan bekerja pada masa kini untuk kebaikan masa depan adalah penting tetapi ia sama pentingnya untuk membawa ke muka pengadilan para pelaku rasuah pada masa lalu.
“Kita perlu melihat demonstrasi kuat ini daripada Badan Peguam. Inilah intipati akauntabiliti demokrasi. Kita bukan sahaja bertanggungjawab tetapi mesti dilihat bertanggungjawab juga. Dan ini juga adalah penegasan terhadap keadilan,” ujarnya.