Jualan dadah melalui Dark Web serendah RM18
PUTRAJAYA – Pengedaran dadah melalui Dark Web atau laman internet underground menyebabkan bekalan dadah termasuk dari jenis sintetik kini dijual pada harga serendah RM18.
Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, bekalan dadah sintetik yang dahulu banyak digunakan oleh golongan penagih tegar kini semakin mudah diperolehi.
Beliau berkata, melalui platform Dark Web, pengguna kini boleh terus membuat pembelian secara online dan hanya perlu menunggu bekalan tiba di kediaman menggunakan perkhidmatan kurier.
“Kita mengesan modus operandi pengedaran jenis ini melalui servis kurier. Mereka hanya berhubung menggunakan aplikasi seperti Telegram dan WhatsApp.
“Melalui cara ini pengguna tidak lagi perlu mencari tokan, sebaliknya ia dihantar oleh orang perseorangan atau perkhidmatan kurier itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gelaja Dadah (JKMD) Bilangan 1 Tahun 2023 dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, hari ini.
Mengulas mengenai harga dadah serendah RM18 yang dikesan AADK, Sutekno berkata, tawaran itu bergantung kepada kuantiti, jenis dan ‘kekuatan’ dadah berkenaan.
“Ada kes yang membelanjakan kira-kira RM50 untuk bekalan yang mampu bertahan sehingga dua hingga tiga hari,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya melakukan pemeriksaan terhadap bungkusan yang diterima di rumah.
Ditanya tindakan AADK bagi membendung kegiatan itu, Sutekno berkata pihaknya sedang berunding dengan kementerian yang menyelia perkhidmatan kurirer untuk memperketatkan peraturan.
Sutekno berkata, kerajaan juga sedang giat merangka rang undang-undang (RUU) Akta Penyalahgunaan dadah dan bahan (Rawatan dan Pemulihan) bagi menggantikan Akta Penagih Dadah 1984.
“Kita jangkakan RUU ini akan dibentangkan di Parlimen pada awal tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Sutekno berkata, pihaknya akan meningkatkan lagi kempen anti dadah selain menggandakan usaha untuk menambah keahlian Skuad Anti Dadah bermula tahun ini.
“AADK menyasarkan pembabitan sejuta ahli Skad Anti Dadah sehingga Julai tahun depan dan setakat ini jumlah keahlian sudah melebihi 100,000 orang,” katanya.