Berita Semasa

Eco-Shop Malaysia jamin harga kekal RM2.40 untuk 3-5 tahun lagi

KUALA LUMPUR – Peruncit barangan keperluan rumah, Eco-Shop Malaysia memberi jaminan akan mengekalkan harga RM2.40 untuk tempoh tiga hingga lima tahun mendatang.

Menurut Ketua Pegawai Operasinya, Jessica Ng, walaupun terpaksa menaikkan harga barang selepas pandemik Covid-19, namun Eco-Shop Malaysia komited dalam memastikan harga barangan yang ditawarkan lebih murah berbanding peruncit lain.

“Kami mahu memperluaskan pemilihan produk dan meningkatkan jumlah barangan makanan dan minuman. Harga RM2.40 setiap barangan itu juga akan kekal untuk sekurang-kurangnya lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran kempen terbaharunya ‘Syokkping Gila-Gila’ sempena ulang tahun Eco-Shop Malaysia yang ke-20 di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Jabatan Pemasaran, Soong Sham Shee dan Pengarah Merchandising, Sara Ooi.

Terdahulu, kempen ‘Syokkping Gila-Gila’ menawarkan hadiah keseluruhannya berjumlah RM100,000 dengan pelbagai tawaran menarik menanti 800,000 ahli aplikasi Eco-Shop.

Hadiah utama iaitu 40,000 Eco-coins x1; tempat pertama 20,000 Eco-Coins x1; tempat kedua 10,000 Eco-coins x2 dan tempat ketiga 1,000 Eco-coins x20.

Hadiah tersebut merangkumi pakej menunaikan umrah dan percutian, kereta, jam pintar, basikal, laptop dan pelbagai barangan dapur turut ditawarkan kepada pemenang.

Untuk rekod, terdapat lebih 240 cawangan kedai Eco-Shop di seluruh negara dan menurut Jessica, Eco-Shop Malaysia merancang untuk membuka lebih banyak cawangan khususnya di kawasan Lembah Klang.

Show More

Related Articles

Back to top button