Bimbang Instagram pupus, Yatie Kitchen lancar edisi buku masakan terbaharu
KUALA LUMPUR – Bimbang sekiranya laman media sosial Instagram pupus selama-lamanya mendorong seorang pempengaruh media sosial yang terkenal dalam dunia masakan, Nurhayati Zainol Abidin melancarkan buku resepi makanannya yang kelima.
Nurhayati atau lebih dikenali sebagai Kak Yatie dalam bidang masakan berkata, buku koleksi dan tips makanan yang terbaharu itu mengandungi lebih 70 resepi masakan istimewa
“Saya sebelum ini terfikir, kalau Instagram pupus saya tidak ada simpanan sebab itu saya tekad buat buku, dan apa yang ada di Instagram itu ada dalam buku ini.
“Sebenarnya saya sendiri lebih gemar merujuk buku sebab mana nak ingat beratus-ratus resepi masakan, jadi memang saya akan rujuk pada buku,” katanya ketika hadir majlis pelancaran Koleksi Resipi dan Tips Masakan Yatie Kitchen.
Anak kelahiran Muar, Johor itu berkata, beliau mula aktif dalam media sosial kira-kira 10 tahun lalu dengan menggunakan akaun Yatie Kitchen sebelum memutuskan untuk menulis buku masakan pada tahun 2018.
Katanya, beliau kemudian dilamar sebagai Duta Adabi kira-kira enam tahun lalu dan rezekinya terus tidak putus-putus apabila dipanggil menyertai pelbagai rancangan di televisyen.
“Buku pertama saya dilancarkan pada 2018, kemudian 2019 edisi kedua, 2020 edisi ketiga dan 2021 edisi keempat. Setiap buku menampilkan resepi berbeza.
“Setiap edisi ada lebih 70 jenis masakan berbeza, cuma buku edisi pertama dan kedua sahaja yang ada lebih 90 resepi sebab gabung dengan edisi Ramadan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau yang merupakan pengurus perhubungan awam di sebuah hospital swasta turut menyimpan hasrat untuk menerbitkan buku-bukunya itu dalam bahasa Inggeris bagi meluaskan lagi pasaran buku tersebut.
Ditanya mengenai sambutan terhadap buku yang ditulisnya, Yatie berkata, setiap buku keluarannya mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada peminat buku dan masakan.
“Ketika edisi pertama dikeluarkan ramai yang mencari dan terpaksa diulang cetak berulang kali, sama dengan buku edisi kedua. Tapi buku ketiga sambutannya paling tinggi sebab waktu itu seluruh negara terpaksa berkurung dalam rumah atas sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Buku edisi ini yang paling hits,” katanya.
Sementara itu ditanya sama ada beliau berhasrat mengeluarkan buku dalam bentuk e-book, Yatie berkata, beliau tidak berhasrat mengeluarkan buku dalam bentuk tersebut kerana ia mudah dicetak rompak oleh pihak tidak bertanggungjawab.