Berita Semasa

Pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan di hospital, pengangkutan awam mulai 5 Julai

CYBERJAYA – Pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di hospital dan pengangkutan awam mulai 5 Julai depan.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, antara kelonggaran lain adalah individu berisiko tinggi seperti warga emas, individu berimuniti rendah, bergejala respiratori dan ibu mengandung amat digalakkan memakai pelitup muka di tempat sesak, pengudaraan kurang baik serta semasa menaiki pengangkutan awam.

Bagaimanapun, pesakit positif Covid-19 adalah dikehendaki memakai pelitup muka ketika berada di kemudahan kesihatan, kata Dr. Zaliha dalam satu kenyataan, hari ini.

Mulai 5 Julai ini juga, tempoh kuarantin pesakit Covid-19 turut dipendekkan daripada tujuh hari ke lima hari sejak gejala pertama muncul.

Dr Zaliha seterusnya menambah, pengisytiharan status kawasan tempatan jangkitan di Malaysia yang akan tamat esok dilanjutkan enam bulan sehingga 31 Disember depan, walaupun situasi semasa Covid-19 tidak lagi membimbangkan.

Lanjutan ini amat perlu kerana terdapat risiko kemunculan varian dan subvarian baharu Covid-19 di Malaysia.

“Perhimpunan ramai yang dijangka berlaku semasa sambutan Hari Raya Aidiladha dan juga PRN mungkin berisiko menyumbang kepada peningkatan kes serta membebankan sistem perkhidmatan kesihatan, jika langkah kawalan dan pencegahan tidak dilaksanakan sepenuhnya.

“Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi Covid-19 dan juga varian dilaporkan untuk mengambil tindakan segera dan wajar apabila diperlukan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button