Berita Semasa

Bubar DUN: EXCO Kedah serah kenderaan kerajaan

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersama barisan EXCO kerajaan negeri menyerahkan kembali kenderaan rasmi kerajaan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Norizan Khazali menjelang hari pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Menurut Muhammad Sanusi, penyerahan itu adalah sebagai satu usaha untuk mengajak proses demokrasi berjalan dengan penuh integriti.

“Kebanyakan program setelah pembubaran ini adalah program kempen politik.

“Kita nak elak YB dikatakan menggunakan kenderaan kerajaan untuk tujuan kempen, jadi semua ahli EXCO guna kereta peribadi,” ujar Sanusi dalam sidang media selepas majlis penyerahan kenderaan negeri diadakan di Wisma Darul Aman hari ini.

Tambah beliau, walaupun setiap EXCO masih menjalankan tanggungjawab sehingga pilihan raya, mereka akan menggunakan kenderaan peribadi.

Muhammad Sanusi turut menyeru agar rakan-rakan dari parti lain turut melakukan perkara yang sama iaitu tidak menggunakan peralatan kerajaan untuk tujuan kempen politik.

Dalam pada itu katanya, sepanjang pembubaran DUN, urusan-urusan kerajaan akan diuruskan oleh ‘caretaker government’ sehingga pilihan raya berlangsung.

“Mesyuarat EXCO masih berjalan seperti biasa untuk memutuskan beberapa perkara penting dan telah menjadi rutin kerajaan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button