SKM akan diiktiraf setaraf SPM – Ahmad Zahid
PUTRAJAYA – Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) akan diiktiraf supaya setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi meningkatkan lagi kadar kebolehpasaran pemegang sijil Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kertas dasar bagi cadangan itu akan dibentangkan kepada kabinet, tidak lama lagi.
“Kertas dasar akan dibawa ke kabinet dua minggu daripada sekarang untuk menentukan bahawa sijil ini akan turut diiktiraf sama taraf atau lebih daripada SPM,” kata Ahmad Zahid.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Portal TVET Madani dan pertukaran Memorandum Kerjasama (MoU), di sini hari ini.
Menurutnya, antara perubahan besar yang akan dilakukan adalah termasuk koordinasi kerjasama dengan 12 kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta supaya tiada pihak yang tertinggal merebut peluang pekerjaan dalam TVET.
“Terdapat 1,344 institusi TVET di seluruh negara. Kita mahu bukan sahaja melibatkan MoU tetapi dapat menentukan kebolehpasaran lepasan TVET mendapat 100 peratus pekerjaan,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid telah menyaksikan pertukaran Memorandum Kerjasama Transformasi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional antara GLC dan swasta.
Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar; Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Sebanyak 16 buah syarikat terlibat di dalam pertukaran MoU dan seterusnya akan menjadi rakan strategik industri yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan program TVET negara melalui pembangunan kurikulum, bahan latihan, sumbangan dan perkongsian kemudahan serta peralatan, sumbangan khidmat kepakaran selain pembangunan kompetensi tenaga pengajar dan pembiayaan program latihan.