Tubuh lebih banyak kolej Tingkatan Enam
KUALA LUMPUR – Penubuhan lebih banyak kolej Tingkatan Enam wajar dipertimbangkan susulan program pascasekolah itu kian mendapat tempat dalam kalangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) Mohd Azizee Hasan, aliran Tingkatan Enam sewajarnya diasingkan dengan pelajar arus perdana.
Katanya, ini termasuk peraturan, silibus serta sistem pelajaran tingkatan enam itu sendiri perlu dikaji semula.
“Sistem pembelajaran mereka juga dicadangkan dilaksanakan selari dengan universiti seperti sistem semester, kaedah pengajaran dan pembelajaran,” katanya memetik laporan Bernama.
Terdahulu, pada Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program Temu Anwar Negeri Sembilan di Universiti Sains Islam Malaysia berkata pelajar tingkatan enam di negara ini tidak seharusnya terikat sangat dengan peraturan sekolah.
Katanya, pelajar perlu diberi sedikit kelonggaran walaupun berada di kawasan persekolahan.
Tambahnya, suasana Tingkatan Enam perlu diubah kerana ia sebenarnya merupakan pascasekolah seperti Matrikulasi berikutan sesi persekolahan berakhir pada Tingkatan Lima.