Rencana

Rawatan awal selamatkan pesakit kanser kolorektal

PERNAH tak anda rasa lesu, sakit perut yang teruk, muntah, hilang berat badan secara tiba-tiba atau berlaku sesuatu yang pelik pada corak pembuangan najis? Jangan ambil mudah, kerana inilah antara simptom kanser kolorektal!

Kanser kolorektal atau dikenali sebagai kanser kolon merupakan antara kanser yang biasa ditemui di Malaysia dan sebanyak 70 peratus kes kanser ini di Malaysia didiagnos dalam kalangan mereka yang berusia 40 tahun ke atas.

Peningkatan kes kanser ini kerana kekurangan kesedaran awam, kadar penyertaan saringan yang rendah, kebergantungan terhadap perubatan tradisional, tanggapan risiko yang salah, halangan emosi serta pandangan negatif tentang penyakit ini.

Penolong Pengarah Kanan di Kementerian Kesihatan, Dr. Nor Saleha Ibrahim Tamin, memberitahu, kanser kolorektal atau lebih dikenali sebagai kanser kolon, merupakan kanser kedua paling lazim di Malaysia.

Ia juga merupakan punca kematian yang berkaitan kanser ketiga tertinggi di negara kita, satu statistik yang cukup membimbangkan.

“Kira-kira 70 peratus daripada kes kanser ini didiagnosis pada tahap lanjut dan ini meningkatkan risiko kematian. Lebih daripada 90 peratus kes kanser kolorektal di Malaysia berlaku pada individu yang berumur 40 tahun ke atas. Disebabkan itu, pemeriksaan awal merupakan langkah pencegahan yang amat penting. Kanser kolorektal tahap awal selalunya tidak bergejala. Kita perlu sentiasa berwaspada terhadap sebarang gejala yang muncul kerana tindakan yang tepat pada masanya boleh memberikan hasil rawatan yang lebih baik dan mengurangkan beban penyakit ini kepada individu dan juga masyarakat.

“Penyakit ini boleh dialami sesiapa sahaja tanpa mengira usia; ia memberi kesan kepada individu daripada semua lapisan masyarakat. Walaupun kanser kolorektal kebiasaannya memberi kesan kepada individu berumur 50 tahun ke atas, kami melihat corak yang membimbangkan pada hari ini dengan peningkatan jumlah kes dalam kalangan individu yang lebih muda, lantas menambahkan lagi beban ekonomi penyakit ini di negara kita.

“Peningkatan yang membimbangkan dalam kejadian kanser kolon dalam kalangan individu di bawah umur 50 tahun menimbulkan kebimbangan ketara tentang kesannya terhadap kumpulan umur yang lebih muda,” katanya pada forum awam anjuran EP Plus Group dan Universiti Sunway baru-baru ini.

Dr. Nor Saleha Ibrahim Tamin

Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan & Hayat di Universiti Sunway, Prof. Dr. Raja Affendi Raja Al; Ketua Gastroenterologi, Kementerian Kesihatan, Dr. Kiew Kuang Kiat; Perunding Gastroenterologi, Pusat Perubatan Sunway, Datuk Dr. Chua Tee Joo; Perunding Kolorektal dan Pakar Bedah Am, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Poh Keat Seong; Pakar Biologi Kanser, Prof. Abimanyu Veerakumarasivam dan Pakar Onkologi Klinikal, Pusat Perubatan Sunway, Prof. Profesor Kesihatan Awam dan Polisi, Universiti Sunway, Dr. Aqilah Othman.

Sementara itu, Dr. Raja Affendi memberitahu, kanser kolorektal amat mudah untuk dikesan pada tahap awal. Apabila kita mengenal pastinya pada peringkat permulaan, kebarangkalian rawatan untuk berjaya akan meningkat dengan ketara. Ujian saringan merupakan tunjang utama dalam perjuangan ini dan ia merupakan pendekatan berkesan bagi mengesan polip prakanser dan kanser tahap awal.

“Bagaimanapun, di sebalik semua kemajuan kita dalam bidang perubatan, kita masih perlu menangani salah faham yang wujud dalam masyarakat mengenai kanser kolorektal, terutamanya ketidakselesaan yang dikaitkan dengan prosedur pemeriksaan seperti kolonoskopi. Ia sebenarnya tidak begitu menakutkan, kerana pesakit boleh diberi ubat penenang secukupnya sebelum prosedur. Ini akan memastikan pengalaman yang selesa dan bebas kesakitan yang akan dikendalikan secara rapi oleh penyedia penjagaan kesihatan yang berdedikasi.

Sebahagian ahli panel yang hadir dalam forum kanser kolorektal anjuran EP Plus Group dan Universiti Sunway baru-baru ini.

“Kami cukup menekankan kepentingan pemeriksaan berkala untuk semua rakyat Malaysia berumur 45 tahun dan ke atas. Individu yang mempunyai sejarah kanser kolorektal pada usia muda yang ketara dalam keluarga mereka, serta mereka yang terjejas disebabkan gangguan genetik tertentu seperti FAP, Sindrom Peutz-Jeghers, atau Sindrom Lynch, harus mempertimbangkan ujian pada usia yang lebih muda berdasarkan faktor risiko individu mereka.

“Kami boleh mengesan dan menangani risiko kesihatan dengan cekap melalui saringan proaktif bagi menjamin masa depan yang lebih baik dan sihat untuk semua rakyat Malaysia,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button