Malaysia komited kurangkan pelepasan gas karbon – PM
KUALA LUMPUR – Malaysia komited dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon di samping bersedia menghadapi pertumbuhan ekonomi rendah karbon, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, Malaysia telah menyemak Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) untuk mengurangkan keamatan (intensity) pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 45 peratus menjelang 2030.
“Usaha ke arah mencapai NDC kita telah dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022 – 2040. Dokumen dasar ini melakar secara strategik jalan ke hadapan dan menggariskan keutamaan bagi sektor tenaga pada tahun-tahun akan datang.
“Ia meletakkan sektor tenaga sebagai pemangkin utama pembangunan sosioekonomi dan Aspirasi Negara Rendah Karbon yang progresif akan memastikan ekonomi Malaysia dapat memanfaatkan peluang yang muncul daripada peralihan tenaga untuk kekal berdaya tahan dan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapanya sebelum merasmikan acara Energy Asia 2023 di sini pada Isnin.
Tambah Anwar yang juga Menteri Kewangan, beberapa pelan strategik juga akan dibangunkan bagi dasar tersebut agar kemajuan sosioekonomi dapat ditingkatkan di negara ini.
“Yang paling penting ialah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional yang akan menggariskan strategi menyeluruh dan inisiatif berimpak tinggi untuk mempercepatkan usaha peralihan tenaga.
Katanya, kedua-dua pelan hala tuju ini disasar dilancarkan pada separuh kedua tahun ini.