‘Inspektor Sheila’ dakwa tidak terima surat gantung tugas
SELAYANG – Wanita yang dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ membuat dakwaan bahawa dia tidak pernah menerima sebarang surat penggantungan daripada tugas.
Sheila Sharon,34, berkata demikian kepada pihak media ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Majistret Selayang, hari ini.
Terdahulu, Sheila Sharon menghadiri prosiding di mana dia didakwa di hadapan Majistret Chai Guan Hock dan Majistret Nur Hafizah Rajuni secara berasingan.
Menurut Sheila Sharon, dia terkejut dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail pada 22 Jun lalu bahawa dia digantung tugas.
“Saya tidak pernah digantung kerja.
“Sebab itu saya terkejut, kenapa Menteri Dalam Negeri mengeluarkan kenyataan sedangkan sehingga hari ini, saya tidak menerima sebarang surat penggantungan,” kata Sheila Sharon menurut laporan NST.