Jenayah & Mahkamah

Najib tarik balik 2 rayuan dapatkan dokumen perbankan berkaitan Zeti Aziz dan keluarganya

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menarik semula dua rayuannya dalam permohonan untuk mendapatkan dokumen membabitkan transaksi kewangan firma pelaburan Goldman Sachs dan dokumen perbankan berhubung bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya.

Sehubungan dengan itu, Mahkamah Persekutuan di sini, membatalkan kedua-dua rayuan tersebut selepas pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar tidak mengemukakan bantahan.

Prosiding tersebut dijalankan di hadapan panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Datuk Zabariah Mohd Yusof.

Menurut peguam bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam kenyataannya berkata, kedua-dua rayuan utama itu ditarik balik tanpa prejudis bagi membolehkan pihaknya mengemukakan semula permohonan di semua peringkat mahkamah.

Katanya, permohonan tersebut akan dilakukan selepas saksi-saksi berkenaan termasuk Zeti Akhtar dipanggil memberi keterangan pada perbicaran kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Terdahulu, pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mendapatkan dokumen perbankan berkaitan Zeti dan keluarganya.

Pada 12 Julai 2021, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang ketika itu Hakim Mahkamah Tinggi juga telah menolak dua permohonan Najib meminta pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes 1MDBnya mendedahkan dokumen perbankan yang dikaitkan dengan keluarga Zeti.

Show More

Related Articles

Back to top button