YDPA, Permaisuri Agong selamat berangkat tiba di Arab Saudi
CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat berangkat tiba di Kota Suci Madinah, Arab Saudi semalam.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua dan delegasi selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz pada pukul 4 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia).
“Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua yang diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan paduka-paduka anakanda disambut Gabenor Madinah, Yang Amat Mulia Putera Faisal bin Salman Al Saud,” kata satu hantaran di laman Facebook milik Istana Negara, hari ini.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadual berada di Madinah dan Makkah hingga 1 Julai bagi menunaikan ibadah haji.
Terdahulu, Kerajaan Arab Saudi mengumumkan hari Wukuf yang merupakan kemuncak haji adalah pada Selasa, 27 Jun, manakala Hari Raya Aidiladha disambut pada Rabu, 28 Jun.
Umat Islam di Malaysia pula akan menyambut Aidiladha pada 29 Jun.