Berita Semasa

Seri Paduka, Tuanku Permaisuri berziarah ke makam Nabi Muhammad SAW

MADINAH – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menziarahi makam junjungan mulia Nabi Muhammad SAW dan Raudhah di Masjid Nabawi, Madinah di Arab Saudi.

Ziarah tersebut dikongsikan dalam satu hantaran di laman Facebook milik Istana Negara, hari ini.

Menurut hantaran tersebut, Seri Paduka turut berkenan menunaikan solat fardu maghrib dan isyak serta solat sunat di pekarangan makam Nabi Muhammad SAW.

“Selesai solat Isyak… (Seri Paduka berdua) berkenan membaca doa salam dan selawat kepada junjungan Nabi Muhammad SAW dengan dipimpin oleh mutawif bagi tetamu negara Sheikh Mustafa Alarabi,” kata hantaran tersebut lagi.

Turut berangkat menziarah ialah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan turut sama mengiringi ialah paduka-paduka anakanda Seri Paduka.

“Seri Paduka berdua kemudiannya berkenan menziarahi Raudhah dan menunaikan solat sunat di situ.

“Seri Paduka berdua dan delegasi dijadualkan berangkat ke Kota Suci Makkah esok (23 Jun) untuk menunaikan ibadah haji,” kata hantaran itu lagi.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadual berada di Madinah dan Makkah hingga 1 Julai untuk menunaikan ibadah haji.

Show More

Related Articles

Back to top button