Politik

Tiada asas Kerajaan Persekutuan ini boleh tumbang – Rafizi Ramli

PUTRAJAYA – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini menangkis dakwaan pemimpin Perikatan Nasional yang mendakwa Kerajaan Perpaduan hari ini mungkin tumbang selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menteri Ekonomi itu berkata, segala spekulasi yang dicanang oleh pembangkang mengenai gelombang sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) tidak lebih daripada keyakinan yang tidak berasas.

Tambah beliau lagi, tidak ada ‘punca’ untuk rakyat melihat kerajaan hari ini tumbang selepas PRN nanti.

“Tuan Ibrahim boleh kata apa sahaja dia mahu. Secara logiknya apa yang boleh menjatuhkan kerajaan Persekutuan ini selepas PRN nanti?

“Undi tidak percaya? Itu tidak akan berlaku. Lompat parti? Itu tak boleh. Sekumpulan parti meninggalkan Kerajaan Perpaduan? Itu pun secara angkanya agak susah.

“Katakanlah Barisan Nasional (BN) keluar, kerajaan tetap kekal. Sekumpulan parti keluar, kerajaan pun kekal,” katanya pada sidang media semasa Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMK12 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, bahawa kerajaan tidak mustahil akan jatuh selepas PRN ini jika PN mampu memperolehi kemenangan di lima daripada enam negeri.

Sebaliknya Rafizi berkata, pihak pembangkang yang sepatutnya berasa bimbang dalam pilihan raya nanti kerana data kajian yang diperolehi beliau menunjukkan parti itu tidak sekuat yang didakwa.

“Saya masih menantikan masa yang sesuai untuk kongsikan data ini kepada umum bahawa keadaan sokongan (kepada PN) itu tidak seperti yang dicanang-canang.

“Kubu PN tidak sekebal yang mereka dakwa, mereka yang patut bimbang, bukan kami,” katanya.

Pada masa sama, Rafizi turut mencabar PN supaya tampil menjadi pembangkang yang lebih baik dengan memberi perhatian kepada soal pentadbiran kerajaan yang baik.

Show More

Related Articles

Back to top button