Berita Semasa

Saya tidak dimaklumkan mengenai serbuan rumah Hamzah Zainuddin – PM

CYBERJAYA – Serbuan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap kediaman bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin adalah urusan agensi itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai penggeledahan itu pada Selasa lalu.

“Saya rasa itu urusan LHDN selaku badan penyiasat dan saya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu,” katanya kepada pemberita di Masjid Raja Haji Fisabilillah, di sini hari ini.

Dalam serbuan oleh sepasukan pegawai agensi itu pada pukul 11 pagi, Ketua Pembangkang itu dikatakan berada di dalam kediamannya.

Serbuan dikatakan berhubung beberapa cukai yang tidak dilaporkan oleh Ahli Parlimen Larut itu.

Hamzah yang merupakan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) sebelum ini mengesahkan beliau dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan berhubung kes pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Terdahulu Anwar meluangkan masa bertemu orang ramai dan menikmati makan tengahari di Medan Selera Sports Arena Cyberjaya, hari ini.

Show More

Related Articles

Back to top button