Penerima STR boleh dapatkan Skim Perubatan MADANI mulai 15 Jun
CYBERJAYA – Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) boleh mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer akut secara percuma mulai 15 Jun ini menerusi Skim Perubatan MADANI.
Sebagai permulaan, program perintis skim tersebut akan dimulakan di 10 daerah iaitu Gombak, Hulu Langat, Klang dan Petaling (Selangor), Kuala Lumpur, Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Johor Bahru (Johor), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak) bermula 15 Jun sehingga 31 Disember 2023.
Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), skim ini merupakan satu inisiatif rintis kerajaan bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan B40.
“Skim Perubatan MADANI ditawarkan secara automatik kepada penerima STR dengan membantu menampung kos rawatan kes-kes akut.
“Perkhidmatan percuma yang ditawarkan adalah seperti konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan akan diberikan di GP (pengamal perubatan swasta umum) kepada penerima manfaat mengikut pakej yang ditentukan,” kata KKM dalam satu kenyataan, hari ini.
Penerima manfaat boleh mendapat beberapa kali rawatan percuma sehingga peruntukan bagi setiap isi rumah telah dihabiskan.
Peruntukan bagi setiap isi rumah adalah sehingga RM250 bagi setiap isi rumah berkeluarga, RM125 bagi warga emas (tanpa pasangan) dan RM75 bagi kategori bujang.
Rawatan pesakit luar kes-kes akut percuma yang ditawarkan Skim Perubatan MADANI merangkumi rawatan bagi demam selesema, cirit birit, muntah, terseliuh, sakit kepala, trauma ringan dan pelbagai lagi.
“Fasa rintis Skim Perubatan MADANI yang akan dilaksanakan di 10 buah daerah berkenaan dijangka memberi manfaat kepada 700,000 isi rumah dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.
“Pra-pendaftaran adalah tidak diperlukan untuk menikmati manfaat Skim Perubatan MADANI bagi penerima STR dan tanggungannya. Mereka hanya perlu membawa kad pengenalan semasa mendapat rawatan di GP yang berdaftar dibawah Skim Perubatan MADANI,” kata KKM lagi.