Jenayah & Mahkamah

Polis tahan kanak-kanak 11 tahun pandu kereta

KLANG – Polis menahan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun di Pandamaran di sini, susulan video dia memandu sebuah kereta Proton Saga menjadi tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kanak-kanak itu turut ditahan bersama bapanya berusia 49 tahun yang juga pemilik kereta terbabit oleh anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan kira-kira pukul 1.15 pagi.

Menurutnya, kedua-dua mereka kemudian dibawa ke Balai Trafik IPD Klang Selatan untuk direkod keterangan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah umur dan Seksyen 111 akta sama iaitu bersubahat atau membenarkan melakukan kesalahan.

“Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa maksud melakukan perbuatan pengabaian atau mendedahkan kanak-kanak secara cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal atau emosi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak leka dan sentiasa mengawasi anak-anak mereka supaya tidak melakukan tindakan yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri atau harta benda orang lain.

Dalam pada itu, katanya, perbuatan menularkan sebarang konten sama ada dalam bentuk video atau gambar secara sewenangnya adalah tidak digalakkan demi menjaga imej dan privasi orang lain, sebaliknya dinasihatkan terus ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.

Terdahulu, satu klip video berdurasi 1 minit 21 saat menjadi tular di media sosial berkenaan seorang kanak-kanak lelaki memandu sebuah kereta jenis Proton Saga.

Menurut Hoong Fong, kejadian tersebut berlaku pada Jumaat lepas kira-kira pukul 6 petang di Jalan Kampung Pendamar, Klang.

Show More

Related Articles

Back to top button