Berita SemasaPM X

PM seru golongan muda ‘perangi pihak rompak kekayaan rakyat’

GEORGETOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru golongan muda supaya bersama beliau ‘memerangi’ mana-mana pihak yang merompak kekayaan rakyat.

Kata Anwar, golongan tersebut perlu memahami kepentingan memerangi salah guna kuasa dan rasuah.

“Jangan guna kuasa untuk rompak kekayaan rakyat.

“Kalau anak muda tidak memberi dukungan ke arah ini (menolak salah guna kuasa dan rasuah), apa lagi masa depan kita?

“Saya nak harapkan orang lama, mereka sudah jadi ahli parti berpuluh tahun. Dia tak sanggup tukar dah. Saya tak upaya (merayu).

“Yang saya boleh rayu ialah anak muda supaya faham bahawa negara ini mesti diselamatkan daripada penyakau, penyangak dan penyamun ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Temu Anwar di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini sebentar tadi.

Mengulas tanggapan tertentu bahawa beliau tegas dalam memerangi rasuah, Anwar berkata bahawa korupsi di negara ini sudah begitu berleluasa.

“(Kes) rasuah berat sangat di negara ini sudah jadi sistematik, sudah jadi sebahagian sistem, sudah jadi budaya, tidak boleh selesai secebis-secebis,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengarahkan semua institusi berkaitan supaya menyiasat secara telus sesiapa sahaja yang terlibat dalam merompak negara.

“Saya mahu semua institusi siasat dengan telus siapa saja yang sakau, saya tidak peduli.

“Kamu ada jawatan tinggi, dah selamat puluhan tahun, saya tidak peduli.

“Kamu selamat puluhan tahun kerana orang tidak berani ambil tindakan, kerana orang itu juga penyakau.

“Sekarang, kita mesti hentikan sesiapa yang rasuah ini,” tambah Anwar lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button