Video tular pukul gelandangan: Polis tahan tiga remaja, buru seorang lagi suspek
CYBERJAYA – Pihak polis berjaya menahan tiga individu kerana disyaki terlibat memukul beberapa gelandangan di Klang, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, ketiga-tiga individu tersebut merupakan remaja yang masih bersekolah, dan pihaknya sedang menggiatkan tindakan mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas.
Semalam, tular dua video yang memaparkan aksi sekumpulan individu dipercayai warga tempatan menaiki sebuah kereta bertindak memukul teruk gelandangan menggunakan besi pemukul baseball.
“Bertindak atas pengesanan penularan video tersebut, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Bertindak atas maklumat pada jam lebih kurang 3 pagi hari ini (Isnin), Cawangan D7 BSJ IPD KLang Selatan telah membuat tangkapan terhadap tiga lelaki warga tempatan berumur 16 tahun di sekitar Klang yang disyaki bertanggungjawab dalam jenayah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
“Semakan mendapati seorang suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau manakala dua suspek lagi bebas sebarang rekod jenayah.
Tambah beliau, polis berjaya merampas tiga telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Proton Wira untuk membantu siasatan lanjut polis dalam kes tersebut.
Katanya, siasatan awal polis mendapati terdapat tiga kejadian melibatkan kesemua suspek ke atas tiga mangsa gelandangan yang berbeza.
“Ketika ini pihak polis telah mempergiatkan usaha untuk mengesan mangsa-mangsa kejadian tersebut untuk membantu merakam keterangan polis.
“Malah, polis juga sedang dalam usaha untuk mengesan dan menangkap seorang lagi suspek yang masih bebas dan disyaki terlibat dalam insiden pukul gelandangan itu.
“Kesemua tiga suspek lelaki itu telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang pagi tadi untuk permohonan perintah reman dan mahkamah membenarkan mereka direman selama tiga hari iaitu sehingga 7 Jun ini bagi membantu siasatan lanjut polis.
“Kertas siasatan apabila dilengkapkan kelak akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan arahan lanjut,” tegas beliau.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes kejadian berkenaan dinasihati supaya tampil segera menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau di mana-mana balai polis berhampiran.