Berita Semasa

Tempoh pengajian 44 program akan dipendekkan

PETALING JAYA – Tempoh pengajian sesetengah program di institut pengajian tinggi awam (IPTA) akan dipendekkan daripada empat tahun kepada hanya tiga tahun.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, atas dasar itu, sebanyak 44 program pengajian dari sembilan IPTA telah dikenal pasti untuk dipendekkan tempoh pengajiannya.

Menurut beliau, pemendekan tersebut mampu mengurangkan jumlah pinjaman atau kos pengajian yang perlu ditanggung selain membuka peluang untuk graduan memasuki pasaran kerja setahun lebih awal.

“Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa mengemas kini program dan jurusan yang ditawarkan oleh IPT di seluruh negara.

“Kita mahu program dan jurusan tersebut disusun dengan cara terbaik dan menguntungkan semua pihak,” katanya semasa Majlis Penutupan Program Jom Masuk U 2023 di Universiti Malaya pada Ahad.

Tambah beliau, pengurangan tempoh pengajian itu tidak melibatkan institut pengajian tinggi swasta (IPTS).

Bagaimanapun katanya, ia terpulang kepada IPTS itu sendiri untuk melaksanakannya.

Sebelum ini pada 25 Februari, media melaporkan KPT sedang mencari jalan untuk mengurangkan beban pelajar, termasuk dengan memperkenalkan kursus fleksibel dan memendekkan tempoh pengajian bagi program tertentu di universiti awam.

Show More

Related Articles

Back to top button