YWP lancar tabung kebajikan, pelajaran bantu golongan memerlukan
PUTRAJAYA – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) melancarkan satu tabung kebajikan dan pelajaran baharu khusus untuk membantu warga Wilayah Persekutuan yang dhaif dan memerlukan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penubuhan Tabung Kebajikan dan Pelajaran Yayasan Wilayah Persekutuan itu adalah berperanan sebagai pemudah cara untuk golongan yang memerlukan.
“Sepanjang lima tahun kebelakangan ini, YWP telah membelanjakan hampir semua tabungan mencecah lebih RM100 juta melalui pelbagai bentuk program kebajikan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat terdiri daripada semua kaum, khususnya waktu penularan wabak pandemik Covid-19.
“Saya percaya pelancaran tabung ini boleh dikatakan antara titik penyerlah dalam merangkumkan penyertaan golongan korporat dan orang perseorangan dalam meneruskan ikhtiar secara bersepadu untuk membantu golongan miskin bandar,” katanya.
Terdahulu Perdana Menteri menghadiri Majlis Pelancaran Tabung Kebajikan dan Pelajaran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) berlangsung petang tadi bertempat di Dewan Melati, Perbadanan Putrajaya di sini.
Dalam pada itu katanya, YWP juga akan memulakan tradisi baharu yang mana penderma akan mendapat laporan daripada pengurusan berhubung wang yang didermakan.
“Ini pastinya penting dalam usaha kita mengangkat tata kelola yang baik sekali gus mencerminkan ketelusan seiring dengan kerangka asas Malaysia Madani.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak, khususnya dermawan serta agensi kerajaan atas segala sokongan serta kerjasama erat dalam membangunkan modal insan berkualiti menerusi YWP,” katanya.