Berita Semasa

PM umum peruntukan baiki infra, tambah baik kebajikan ATM

KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beberapa peruntukan demi penambahan infra serta kebajikan badan pertahanan negara kita di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, antaranya projek baharu membabitkan pembangunan semula 49 unit rumah terbiar yang kini dijadikan kuarters awam.

Selain itu, katanya, turut diumumkan ialah pembinaan sebuah rumah transit Kementerian Pertahanan di Taman Lok Kawi dengan peruntukan sebanyak RM25 juta.

“Tidak dilupakan, pembinaan RKAT Tambahan Pelbagai Kelas Kem Lok Kawi dengan kos projek RM213 juta selain membaik pulih dan naik taraf Aviari di Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Putatan, Sabah yang menelan belanja RM4.8 juta.

“Saya juga umumkan keperluan menaik taraf Jalan Lok Kawi Dari Bulatan Sabindo Ke Sungai Kinarut membabitkan kos projek RM67 juta selain pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan Lok Kawi membabitkan kos projek RM23 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, mengambil kira kos sara hidup yang tinggi, Kerajaan Perpaduan juga bersetuju memanjangkan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) menggantikan Bayaran Insentif Sabah/Sarawak (BISS) dan Bayaran Insentif Semenanjung (BISM) untuk manfaat pegawai dan anggota ATM berkuat kuasa 1 Julai ini.

Perdana Menteri berkata, kelulusan ini akan memanfaatkan 33,586 anggota ATM dengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM87.8 juta setahun berdasarkan perjawatan tahun 2022.

“Nescaya, pengumuman dan penambahbaikan ini semua, mampu melonjakkan semangat anggota terus berkhidmat dengan terbaik di Sabah dan Sarawak demi keamanan serta kestabilan negara,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button