Sukan

Johan Ghazali sasar tali pinggang One Championship

KUALA LUMPUR – Atlet Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar, kini menyasarkan tali pinggang One Championship selepas menewaskan lawan dari Thailand di Stadium Tinju Lumpinee, Bangkok, Jumaat lalu.

Menurut Johan yang lebih dikenali sebagai Jojo, dia lebih menyukai pertarungan yang panjang kerana mahukan saingan yang lebih hebat daripada lawannya.

“Saya tak suka 16 saat (pertarungan sebelum ini)… saya mahu saingan yang hebat daripada lawan.

“Saya kuat kerana ada sokongan daripada ibu di stadium, bapa saya yang menonton di rumah selain rakan-rakan yang datang dari Malaysia, jadi tak adil kalau saya tidak berikan 100 peratus dalam pertarungan ini.

“Sasaran saya seterusnya untuk mendapatkan kontrak, saya rasa tali pinggang One Championship ini ditakdirkan buat saya. Saya adalah masa depan,” katanya dalam satu rakaman.

Dalam perlawanan tersebut, walaupun Johan menerima provokasi ‘melampau’ ketika berdepan lawan dari Thailand, dia dilihat tenang menyerap segala pukulan sepanjang perlawanan.

Setelah diasak beberapa kali, atlet muda dari Sarawak berusia 16 tahun itu berjaya menumbangkan lawan dengan pukulan ‘knockout’ (KO). 

Terdahulu, Jojo yang membuat penampilan sulungnya pada Februari lalu di stadium sama selepas mengambil masa hanya 16 saat untuk menumbangkan lawan dengan pukulan KO.

Jojo menewaskan Padetsuk Fairtex yang berusia 18 tahun dalam kategori flyweight One Championship.

Untuk rekod, pada tahun lalu, Jojo menjuarai Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA 2022 yang berlangsung di laman sendiri selepas menumbangkan peserta Russia, Rustam Yunusob dalam kategori 14 hingga 15 tahun (bawah 60 kilogram) dengan kiraan mata 20-18.

Show More

Related Articles

Back to top button