Jadi mangsa keadaan, Putrajaya Cyborg disisihkan dari STL
KUALA LUMPUR – Meskipun berjaya melayakkan diri dalam saingan Liga Premier untuk musim ini, pasukan Putrajaya Cyborg terpaksa akur apabila tidak tersenarai dalam 10 pasukan elit yang bertanding.
Ia selepas pasukan yang berpangkalan di Putrajaya itu disisihkan oleh penganjur kejohanan iaitu Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Astro.
Difahamkan, masalah tersebut timbul berikutan kemelut perebutan kuasa antara PSM dan MASTAF sebelum ini.
Walaupun, ia telah yang telah berakhir, tempiasnya tetap terkena kepada pasukan Putrajaya Cyborg yang sebelum ini berpihak kepada MASTAF.
Ketika dihubungi Malaysia Tribune, Pengurus Putrajaya Cyborg, Shahzam Ismail, mengakui perkara tersebut dan pasrah dengan apa yang berlaku.
“Pasrah dengan keputusan, akan tetapi kami akan kembali, peluang yang ada sekarang kami gunakan untuk pembangunan pemain-pemain baharu yang kami harap dapat beraksi di STL 2024 Divisyen 1,” katanya.
Dalam pada itu, bekas ketua jurulatih Putrajaya Cyborg, Zulkarnain Ariff berharap bekas pemain pasukan itu yang akan beraksi bersama pasukan lain musim ini dapat menunjukkan bakat masing-masing.
“Walaupun Cyborg tidak beraksi STL kali ini, hati saya tetap bersama Putrajaya Cyborg. Walaupun sedih saya terima inilah hakikatnya, saya juga berbangga dengan pemain-pemain Cyborg yang akan beraksi dengan pasukan lain pada kali ini.
“Buktikanlah kelab lain yang mengambil pemain Cyborg tidak tersalah pilih dan saya ucapkan selamat maju jaya kepada pahlawan robot semua,” ujarnya.
Sementara itu peminat sepak takraw khususnya pasukan Putrajaya Cyborg turut menyatakan kekecewaan setelah 5 musim bersama STL dari divisyen 1 hingga melayakkan diri ke Premier STL dianggap sia-sia belaka.
“Sedih, kecewa dan marah saya dan rakan rakan peminat tegar Putrajaya Cyborg tidak dapat melakukan apa-apa untuk pasukan yang kami minati ini kerana tidak dapat lagi beraksi di STL kali ini,” kata Santonie kepada Malaysia Tribune.