Berita Semasa

Dua syarikat dibenar keluarkan gula putih bertapis jernih

BANGI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi kebenaran kepada dua syarikat pengeluar gula tempatan iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) untuk mengeluarkan gula putih bertapis jernih.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, gula jenis tersebut akan memberikan pilihan kepada pengguna selain gula putih bertapis sedia ada.

Bagaimanapun katanya, harga gula putih bertapis jernih tersebut tidak dikawal sebaliknya ditentukan pasaran.

“Kerajaan telah memberi arahan kepada MSM dan CSR untuk terus mengeluarkan gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) pada kuantiti semasa yang mencukupi untuk pasaran runcit pada harga yang dikawal kerajaan iaitu RM2.85 sekilogram (kasar) dan RM2.95 sekilogram (halus).

“Kebenaran untuk penjualan gula putih bertapis jernih akan bermula hari ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPDN di Putrajaya hari ini.

Menurut Salahuddin, KPDN turut menegaskan penjualan gula putih bertapis jernih berkenaan tidak boleh menggantikan bekalan gula putih bertapis sedia ada.

“Syarikat-syarikat pengeluar gula boleh diambil tindakan jika tidak mengeluarkan bekalan gula putih bertapis sedia ada yang mencukupi di pasaran.

“Ia termasuk pemborong dan peruncit yang mengenakan pembelian bersyarat atau tidak menjual gula putih bertapis sedia ada kepada pelanggannya,”ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button