Sindiket eksploitasi Pembantu Rumah Harian tumpas
PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen telah berjaya menumpaskan satu sindiket eksploitasi ‘Pembantu Rumah Harian dan Pekerja Pembersihan’ yang didalangi oleh warga asing dan rakyat tempatan dalam operasi khas yang dijalankan pada 16 Mei lalu di beberapa lokasi di sekitar Temerloh, Pahang.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi bermula pada jam 7 malam itu menyasarkan 2 buah premis di sekitar Temerloh, Pahang.
“Dalam operasi tersebut pasukan operasi telah berjaya menyelamatkan 10 orang
wanita warganegara Indonesia berumur lingkungan 23 hingga 50 tahun yang
memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) tamat tempoh.
“Kesemua mereka dipercayai menjadi mangsa eksploitasi sindiket dengan bekerja sebagai pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan.
“Pasukan operasi turut menahan seorang wanita warganegara Indonesia berumur
lingkungan 30 tahun yang dipercayai sebagai penjaga kepada semua mangsa tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, wanita ini turut memiliki PLS yang telah tamat tempoh.
Dalam pada itu katanya, serbuan kedua pula dilakukan pada pukul 8.30 malam di sebuah premis agensi pekerjaan dan seorang wanita berusia 40 tahun telah ditahan.
Beliau berkata, wanita tersebut merupakan pemilik syarikat itu yang membawa masuk kesemua warga asing tersebut dan menguruskan sindiket ini.
“Modus operandi sindiket ini ialah menggunakan wanita warganegara asing untuk bekerja sebagai ‘Pembantu Rumah Harian dan Pekerja Pembersihan’ di rumah yang telah ditentukan oleh sindiket.
“Pemilik rumah yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut akan menghubungi agensi pekerjaan dan akan mengatur tarikh juga waktu bekerja termasuk menghantar serta mengambil mereka setelah selesai bekerja.
“Melalui pengakuan lisan daripada kesemua mangsa mereka tidak pernah menerima gaji secara fizikal daripada sindiket tersebut.
“Selain itu, kebebasan mereka turut
disekat seperti kemudahan cuti bekerja dan juga penggunaan telefon bimbit bagi
menghubungi ahli keluarga di negara asal,” ujarnya.
Sementara itu, Ruslin berkata, sindiket itu
memgenakan bayaran antara RM150 hingga RM250 untuk sehari bagi mendapatkan perkhidmatan itu
“Sindiket ini telah beroperasi sejak lebih dua tahun dan dipercayai mengaut keuntungan sebanyak RM900,000 setahun hasil bayaran mendapatkan pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan.
“Kesemua warga asing telah dibawa dan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan dan siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Manakala wanita tempatan pemilik agensi pekerjaan yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah selesai soal siasat,” ujarnya.