Berita Semasa

Tiada gangguan bekalan gula di Kedah

KUALA LUMPUR – Isu gangguan bekalan gula di negeri Kedah tidak melibatkan keseluruhan negeri itu sebaliknya hanya dua atau tiga lokasi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, isu berkenaan telah selesai sepenuhnya dan bekalan gula kini boleh didapati di seluruh negeri Kedah.

Beliau berkata, sebanyak 176 pegawai penguatkuasa telah digerakkan untuk memantau dan memeriksa 214 premis termasuk pemborong, peruncit dan satu kilang pengeluaran.

“Setakat 20 Mei, bekalan gula yang dihasilkan dua syarikat pengeluar utama mencapai 796.721 metrik tan untuk negeri tersebut.

“Walaupun ada aduan, KPDN bergerak pantas dan pulihkan sepenuhnya. Setakat ini, di Kedah bekalan gula telah pulih sepenuhnya,” katanya di lobi Parlimen di sini, pada Isnin.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat pembelian panik bahan mentah tersebut bagi mengelak gangguan bekalan di pasaran.

Sementara itu, Salahuddin berkata, empat lokasi Jualan Rahmah disediakan di Kedah untuk memulihkan bekalan gula iaitu di Ben Eng Huat, Pasaraya Kawan Kita (Sik), Pasaraya Kawan Kita (Gurun) dan Pasaraya Kawan Kita (Ambangan Height).

“Harga bagi setiap dua kilogram gula ditetapkan pada kadar RM5,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyorok atau memanipulasikan barangan terkawal itu.

Katanya, beliau tidak ajan berkompromi dengan modus operandi itu.

Show More

Related Articles

Back to top button