Politik

Nik Abduh kekal bersama Pas

KOTA BHARU – Bekas Ahli Parlimen PAS Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam satu hantaran di Facebooknya memberi bayangan beliau akan terus kekal bersama PAS susulan desas-desus mengaitkannya dengan parti lain.

Katanya, beliau akan kekal di jalan yang sama diperjuangkan ayahnya, bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Ramai juga mohon penjelasan saya. Saya mohon kemaafan dulu. Begini, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan al marhum ayahanda adalah kawan.

“Menyambung persahabatan dengan kawan-kawan ayah kita adalah sunnah Rasulullah termasuklah dengan keluarga dan rakan-rakan mereka,” katanya mengulas pertemuan beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa kunjungan Perdana Menteri itu ke Kelantan baru-baru ini.

Gambar pertemuan yang mencetuskan khabar angin Nik Muhammad Abduh akan menyertai parti lain.

Pertemuan itu turut dihadiri abang kepada Nik Mohamad Abduh iaitu Nik Omar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Susulan pertemuan itu, ada yang mengaitkan Nik Abduh akan berhijrah ke parti lain selepas PAS menggugurkan beliau sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Nik Abduh berkata, antara dua insan besar, iaitu Anwar dan Allahyarham ayahnya, terdapat persamaan dalam perjuangan politik mereka.

“Ada juga perbezaan. Perbezaan lebih besar, itu sebab mereka berbeza parti politik. Mereka pernah berselisih, tetapi persamaan yang ada mampu untuk tidak memanjangkan perselisihan itu.

“Begitulah saya, perbezaan kekal, persamaan mendekatkan. Jalan saya adalah jalan ayahanda saya dan Islam adalah penyelesaian. Itulah universiti politik Kelantan. Ada pun desas desus itu dan ini, itu debu. Jaga mata anda. Tak sakit pun, kabur jadinya,” katanya lagi, lapor BH.

Media pada 13 Mei lalu menyiarkan gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Nik Mohamad Abduh ketika lawatan Perdana Menteri ke Kelantan. Pertemuan itu turut dihadiri abang Nik Mohamad Abduh, Nik Omar dan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Dr Azizah Wan Ismail.

Show More

Related Articles

Back to top button