Laju buat kerja, JDT ‘sambar’ pemain remaja viral
KUALA LUMPUR – Aksi memukau seorang remaja ketika bermain bola sepak bersama pemain lebih dewasa berjaya menambat hati Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mengasahkan lagi bakatnya.
Menurut laman Facebook Johor Souther Tigersh, Muhammad Aqil Mohd Shamsul Aswadi, 13, dari Terengganu akan diserap ke dalam Akademi JDT.
Menerusi beberapa gambar yang dimuatnaik dalam hantaran itu, kehadiran Muhammad Aqil ke kelab tersebut turut diiringi oleh ibu dan ayahnya.
“Remaja tersebut akan menyertai Akademi JDT. Akademi JDT adalah satu-satunya akademi kelab bola sepak profesional sepenuh masa yang menawarkan latihan bola sepak, pendidikan dan penginapan,” katanya.
Dalam satu video yang tular dalam laman sosial, aksi Aqil yang mampu menggelecek ramai pemain yang lebih tua daripadanya telah mendapat pujian daripada netizen.
Malah, kawalan bola oleh pemain remaja itu juga sangat baik seolah-olah bola melekat di kaki.
Sementara itu, rata-rata peminat bola sepak memuji langkah pantas yang diambil oleh JDT untuk menandatangi pemain berkenaan.
“Memang tak salah dik kau buat pilihan, kalau nak berkembang skil bola sepak anda masuk lah JDT. Aku akui benda tu walaupun aku dari Kelantan,” komen Mohd Shahrul.
Dalam pada itu tidak kurang juga peminat yang memberi jolokan kepada Aqil sebagai Arif Aiman junior.
“Next Arif Aiman,” tulis Shazmeer Zainuri.